Rutin di mekah Part 1 (Day 1 to Day 4)
Sepanjang di Mekah kami sedaya upaya nak solat berjemaah di dalam Masjidil Haram. Tetapi apakan daya, Mrs A kalah juga dengan rasa penat dan perlu rehatkan juga anak Mrs A yang kecil. Sebab bila dia moody, menangis tak nak duduk di bawah. Risau solat tak khusyuk dan mengganggu orang lain. Mrs A seboleh-bolehnya tidak mahu dia menangis semasa semua umat Islam dari seluruh dunia mencari khusyuk dalam solat mereka di rumah Allah ini.
Hari kedua di Mekah kami bawa anak-anak bersama solat subuh. Kami bangunkan mereka seawal 4 pagi. Masuk waktu subuh dalam pukul 5.30am. Kami rancang tiba selewat-lewatnya 30 minit sebelum masuk waktu subuh. Ini kerana kadang-kadang jika kita tiba terlalu hampir masuk waktu solat, petugas yang menjaga pintu masjid tidak membenarkan lagi kita masuk ke dalam masjid. Jika kita nak solat di tingkat yang sama dengan dataran kaabah. kita mesti datang sekurang-kurangnya 1 jam lebih awal.
Pernah sekali selepas waktu solat asar menunggu solat Maghrib, Mrs A terpaksa pergi ke tandas. Untuk pengetahuan tandas di sini anda perlu keluar dari kawasan dalam masjid dan perlu berjalan dalam 5 minit. Ketika itu Mrs A tinggalkan anak perempuan 5 tahun dan anak bongsu 2 tahun bersama adik Mrs A. Dia pula bersama anaknya 7 bulan. Selepas Mrs A balik dari tandas dan ingin menuju kembali ke tingkat bawah, pengawal masjid sudah menutup laluan tangga ke bahagian bawah. Banyak andaian di fikiran tentang macam mana adik nak handle 3 budak sendirian di bawah. Selepas memujuk pengawal tersebut dengan mengatakan Mrs A ada anak kecik di bawah baru la pengawal tu melepaskan Mrs A serta beberapa orang muslimah untuk turun. Nasib baik Mrs A tak berputus asa minta kesian bagi dia lepas. kalau tak, tak tahu macam mana adik Mrs A handle 3 budak kecik ni masa solat Maghrib.
Selepas waktu subuh kami akan ambil peluang iktikaf sebentar dan kemudian berjalan di sekitar masjid dan seterusnya pulang ke hotel. Selalunya kami breakfast di hotel saja dengan roti dan susu yang dibeli di kedai runcit. Pernah sekali saja kami mencari breakfast di Safwa Tower. Selalunya kami akan pulang ke hotel untuk sarapan dan tidur sekejap sebelum kembali ke Masjid dalam pukul 11.
Kami tak ambil bilik sekali breakfast sebab baca review di agoda dan booking.com mengatakan tak berbaloi. Jimat dalam RM50 sehari tak ambil breakfast ni.
Kebiasaaanya hanya Jemaah lelaki dapat solat di hadapan Kaabah, perempuan di saf belakang luar dari dataran kaabah. Tetapi disebabkan pengubahsuaian pembesaran telaga zamzam, jemaah muslimah yang sedang tawaf akan dapat solat hampir dengan kaabah. Di dataran kaabah ketika ini, hanya Jemaah lelaki yang memakai Ihram dapat masuk ke sana. Untuk jemaah wanita tidak ada sebarang had.
Kami akan makan tengahari dan bersiar-siar di sekitar masjid jika tiada aktiviti ziarah dan tidak melakukan ibadah umrah. Hari kedua kami hanya berehat dan pergi ke masjid untuk solat sahaja.
Di sekitar lorong menuju jalan Khalil Ibrahim, anda akan nampak deretan kedai makan dan ramai jemaah beratur disana. Kawasan tersebut merupakan tempat kita boleh menderma untuk sabil iaitu orang yang tidak berkemampuan. Pernah saya dengar cerita dimana ada jemaah dari Pakistan, Afrika datang umrah hanya berbekalkan wang tambang sahaja. Mereka tidak menyewa penginapan dan tidak ada wang untuk makan.
Bergambar bersama Abraj Al-Bait
Makan nasi arab di food court safwa tower
Food court disini, bila kita order makanan, mereka akan beri plastik dan kita hanya perlu bentang dan makan di atas plastik cover tersebut. Makan macam ala-ala shellout. Tabur je atas meja. Setiap set memang didatangkan dengan pilihan air. Kita boleh pilih sama ada nak air gas atau air mineral.
Kawasan sekitar masjid menuju Jalan khalil Ibrahim. Di belakang merupakan deretan kedai yang menyalurkan derma dalam bentuk makanan kepada sabil. Kita boleh juga membeli makanan di kedai-kedai tersebut. Tidak semestinya hanya memberi sumbangan derma. Pelbagai makanan ada dijual disini.
Hari ketiga kami ke Masjid Saidatina Aisyah. Atau lebih dikenal sebagai Tanaim iaitu miqad paling hampir dengan Masjidil Haram. Hari ketiga kami sekali lagi melakukan ibadah umrah.
Untuk ke Tanaim ada beberapa cara.
Cara pertama anda pergi dengan menaiki teksi. Harga kalau pandai tawar anda boleh dapat SAR30 pergi dan balik.
Cara kedua menaiki uber atau kareem (aplikasi seperti uber). Harga semestinya lebih murah dari menaiki teksi
Cara ketiga dengan menaiki bas. Kami memilih menaiki bas. Harga tiket sehala hanya SAR2 seorang. Perhentian bas ni mudah juga dicari. Ia berada di jalan berhampiran dengan hotel InterContinental Dar Al Tawhid Makkah. Ringan-ringankan mulut bertanya dengan orang. InsyaAllah kita tak akan tersesat. Sentiasa berbaik sangka dengan Allah. InsyaAllah urusan umrah kita Allah permudahkan.
Mrs A Tak pasti waktu operasi bas ni, hari yang kami pergi ni sekitar pukul 10 pagi. Suami Mrs A pergi pukul 3 pagi memang bas ni tak beroperasi. Kalau anda nak ke tanaim sekitar sebelum subuh anda boleh terus memilih option menaiki teksi atau uber.
Di Tanaim banyak kelengkapan umrah dijual disana. Kain Ihram, stokin tangan, stokin kaki, gunting, stokin tawaf, tali pinggang untuk ihram, semua ada. Selepas solat tahayatul masjid, solat sunat ihram. Keluar dari masjid anda akan nampak ada bas yang sama seperti anda datang menunggu. Tapi kena beli tiket lain di kaunter berhampiran bas tersebut. Bila anda naik, konduktor bas akan kutip kembali tiket tersebut.
Pada pemerhatian dan pengalaman saya, bas SAPTCO ini sangat selesa. Mungkin ia bukan seperti gambaran saya. Bas ini besar dan ada aircond lagi. Kecil sedikit dari bas express saja.
Jemaah yang menaiki bas ini hampir 80% jemaah dari Pakistan. Hanya kami sekeluarga nampak dari nusantara pada ketika itu.
Lautan manusia ketika dalam perjalanan solat subuh di bahagian atas tingkat tiga.
Waktu subuh seronok solat di atas kerana sejuk dan boleh nampak pandangan kaabah dari atas. Di bahagian atas lebih banyak ruang kerana lebih besar dan kurang jemaah naik ke bahagian atas.
Selepas waktu solat subuh kemuncak dimana jemaah paling ramai melakukan tawaf. Ambil peluang menatap kaabah dan berdoa sebanyak-banyaknya disini. Di tingkat atas ni kita boleh cari kawasan multazam iaitu kawasan di antara Hajar aswad dengan pintu kaabah dimana salah satu kawasan mustajab berdoa. Pinta lah doa seikhlas-ikhlasnya ketika di bumi barakah bumi kelahiran Nabi Muhammad S.A.W ini. Kita disini sebagai tetamu Allah, Allah akan terima segala rintihan dan permintaan hambanya. InsyaAllah. Semoga satu hari kami sekeluarga dapat kembali ke rumahMu Ya Allah. Amin
Comments
Post a Comment